Murid Tahun Satu cedera, dakwa dipukul guru besar
JOHOR BAHRU – Seorang murid Tahun Satu ditemui dalam keadaan trauma dan cedera di tandas sebuah sekolah selepas didakwa dipukul oleh guru besarnya dalam kejadian pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa pada 10 Mac lalu kira-kira jam 9.46 pagi.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai memukul murid berkenaan di kantin sekolah sekitar jam 7.39 pagi sehingga menyebabkan kecederaan.
“Bertindak atas laporan tersebut, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang juga guru besar sekolah berkenaan bagi membantu siasatan.
“Suspek ditahan pada jam 4.55 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara,” katanya dalam satu kenyataan pada semalam.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan juga didapati negatif dadah.
Menurutnya, suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran oleh ibu saudara mangsa yang memaklumkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan cedera di tandas sekolah selepas keluarganya menerima panggilan daripada pihak sekolah.
Menurutnya, mangsa yang ke sekolah seperti biasa bersama abangnya ditemui dalam keadaan trauma dengan kesan luka dan darah di bahagian mulut selain muka bengkak.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah bagi mendapatkan rawatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








