SUKAN

Kejayaan SUKMA perlu diteruskan menerusi pembangunan akar umbi – RMS

PETALING JAYA – Kejayaan Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) perlu dijadikan pemangkin untuk memperkukuh pembangunan sukan di peringkat akar umbi serta mewujudkan lebih banyak platform pertandingan dalam komuniti.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pembangunan sukan tidak boleh tertumpu kepada kejohanan besar semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan budaya persaingan yang sihat dan berterusan dalam kalangan masyarakat.

Menurut baginda, pertandingan di peringkat komuniti penting bagi membolehkan golongan muda terus aktif bersukan, meningkatkan kemahiran serta membina mentaliti untuk mencapai kejayaan.

“Kita perlu terus mewujudkan pertandingan. Golongan muda perlu bermain secara konsisten setiap minggu supaya mereka dapat berlatih dan membentuk minda untuk menang serta mencapai matlamat yang ditetapkan,” titah baginda pada program NADI by Katch di Hyprground, Petaling Jaya hari ini.

Baginda berkata, perkembangan pesat beberapa sukan seperti pickleball, larian dan catur menunjukkan masyarakat kini semakin cenderung kepada aktiviti yang menggabungkan elemen kesihatan dan interaksi sosial.

Jelas baginda, kejayaan sesuatu sukan banyak bergantung kepada kekuatan komuniti yang menyokong dan menggerakkannya.

“Saya sentiasa percaya kepada pembangunan akar umbi. Apa yang penting ialah bagaimana kita membina komuniti dan menyediakan platform untuk mereka bersaing secara sihat,” titah baginda lagi.

Dalam pada itu, baginda turut menekankan kepentingan mewujudkan ruang sukan yang berfungsi sebagai pusat komuniti, bukan sekadar lokasi untuk beriadah.

Menurut baginda, kemudahan sukan masa kini perlu menjadi ruang pelbagai guna yang membolehkan masyarakat berkumpul, berinteraksi, membina rangkaian dan menjalankan pelbagai aktiviti bersama.

Menyentuh cabaran mengekalkan penyertaan dalam sukan, baginda berkata ramai atlet berhenti aktif selepas tamat persekolahan apabila memasuki alam pekerjaan atau pengajian tinggi.

Justeru, baginda berpandangan aktiviti berasaskan komuniti dan pertandingan santai perlu diperbanyakkan bagi memastikan masyarakat terus terlibat dalam sukan sepanjang hayat.

Baginda turut mencontohkan budaya sukan di Australia yang melibatkan seluruh keluarga dalam aktiviti hujung minggu sebagai model yang boleh dicontohi bagi menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button