BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket pelacuran asing diserbu, 16 ditahan

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket pelacuran warga asing dalam Operasi Khas serentak di Pandan Perdana, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor pada 4 Mei lalu.

Operasi bermula pada pukul 7.15 malam itu melibatkan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya hasil risikan dan maklumat awam selama dua minggu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen, Ismail Mokhtar, seramai 16 individu berusia antara 19 hingga 61 tahun ditahan dalam serbuan yang menyasarkan premis kedai dan kawasan kediaman yang disyaki menjadi tempat aktiviti pelacuran.

“Antara yang ditahan termasuk dua lelaki warganegara Malaysia yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis, dua lelaki dan tujuh perempuan warganegara Vietnam, empat perempuan dari Indonesia dan seorang perempuan dari Laos.

“Hasil semakan awal mendapati hanya dua wanita dari Vietnam dan Laos memiliki Pas Lawatan Sosial yang masih sah, manakala dua lelaki Vietnam pula telah tinggal lebih masa. Selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut dirampas dalam operasi itu adalah 19 unit telefon bimbit, lima pasport Vietnam, satu pasport Laos, sebuah buku rekod kerja, dan buku urus niaga yang dipercayai berkaitan aktiviti pelacuran.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan perkhidmatan pelacuran wanita asing melalui platform media sosial untuk menarik pelanggan. Caj dikenakan antara RM250 hingga RM1,200 untuk setiap sesi, dengan bayaran dilakukan secara tunai atau atas talian,” tambahnya.

Kesemua warga asing yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala tiga wanita diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan lanjut.

JIM menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau sindiket yang melanggar undang-undang negara, termasuk di bawah Akta Pasport 1966 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Kami tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan, termasuk pemerdagangan orang dan penyeludupan migran. Kerjasama awam dalam menyalurkan maklumat amat dihargai dan akan terus menjadi aset penting dalam operasi kami,” tegasnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button