Program Ziarah Kasih semarak semangat komuniti strata
PUCHONG – Sempena pelaksanaan Program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor peringkat Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), satu inisiatif penuh makna iaitu Program Ziarah Kasih telah diadakan melibatkan beberapa pangsapuri di sekitar Putra Perdana, di sini semalam.
Program itu disempurnakan oleh EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.
Beliau berkesempatan menziarahi penerima-penerima bantuan terpilih di beberapa pangsapuri termasuk Pangsapuri Ruvena Villa, Seroja, Kenanga, Kekwa, Anggerik dan Siantan.

Turut mengiringi beliau dalam sesi ziarah tersebut ialah wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sepang, Ahli-Ahli Majlis MPSepang, wakil Pejabat Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPSepang, Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) dari kawasan sekitar serta warga kerja Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
“Bagi melengkapi aspek kebajikan dan kesihatan komuniti, Klinik As-Salam turut menyertai program ini dengan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan secara percuma kepada penerima bantuan.
“Lebih istimewa, program pada hari tersebut turut menyaksikan perasmian Mekar Mart, sebuah inisiatif ekonomi komuniti yang kini dibuka di Pangsapuri Ruvena Villa.
“Pasar mini ini dijangka menjadi pusat jual beli barangan harian yang memudahkan penduduk setempat, sekali gus merancakkan lagi ekonomi komuniti strata,” menurut MPSepang dalam satu kenyataan.
Program yang berlangsung selama dua hari satu malam itu turut melibatkan penyertaan Kerajaan Negeri Selangor, MPSepang, LPHS, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, JKM Selangor, Klinik As-Salam, Lembaga Zakat Selangor dan Masjid Putra Perdana.
Melaluinya, ia bukan sahaja memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat tetapi turut menyemai rasa kebersamaan serta semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat strata di negeri ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








