Pemulihan bekalan air cecah 83.5 peratus – Air Selangor
SHAH ALAM – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air bagi kawasan yang terjejas berikutan kejadian pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, kini sudah pulih 83.5 peratus.
Air Selangor berkata, perkembangan pemulihan bekalan air hingga jam 7.30 pagi tadi itu membabitkan semua kawasan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.
“Tempoh pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza, bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
“Bagi Kumpulan 1, bekalan air di kawasan terjejas sudah pulih sepenuhnya pada jam 7:30 pagi tadi. Bagi Kumpulan 2, pemulihan penuh dijangka pada jam 8 malam ini, manakala Kumpulan 3 pula dijangka pada jam 8 pagi esok (Jumaat),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Air Selangor, pihaknya terus menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang masih terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Bantuan bekalan air alternatif menerusi 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai.
“Bagi pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor wilayah Sepang atau Hulu Langat.
“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang dibuka di Braemar Estet (wilayah Hulu Langat) serta Taman Gemilang Dengkil (wilayah Sepang,” ujarnya.
Sementara itu, Air Selangor juga menyarankan pengguna yang sudah dan akan mendapat bekalan air supaya membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum ia digunakan.
“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas, berjalan lancar.
“Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa, daripada saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.
“Maklumat juga boleh diperoleh melalui saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor menerusi talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/,” katanya.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan kejadian itu menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas sementara.
Ia membabitkan LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) serta Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), dengan lebih 1,000 kawasan di daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor terjejas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








