Imarahkan Ramadan, Program Selangor Bertadabbur di 20 surau, masjid terpilih
PETALING JAYA – Program Selangor Bertadabbur, sebuah program bagi mengimarahkan bulan Ramadan akan berlangsung di 20 surau dan masjid terpilih, pada tahun ini.
Pengarah program, Marwan Bukhari Abdul Hamid berkata, program yang sudah memasuki tahun keenam penganjurannya itu memilih tema surah al-Hujurat bagi tahun ini, lapor portal Selangorkini.
“Kita memilih tema surah al-Hujurat iaitu surah ke-49 dalam al-Quran kerana ia sarat dengan mesej akhlak kemasyarakatan yang sesuai dihayati dan diamati setiap lapisan masyarakat.
“Selain 20 masjid dan surau terpilih, program ini juga akan diadakan di lima Maahad Tahfiz Integrasi Selangor (MITS) bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya.
Terdahulu, beliau menyampaikan penerangan ringkas di hadapan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyempurnakan pelancaran program berkenaan di Masjid Al-Husna, Bandar Sunway, di sini semalam.
Hadir sama pada program berkenaan, EXCO Agama, Dr Fahmi Ngah.
Marwan turut menambah, program anjuran Asatizah Selangor (ANAS) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar dan JAIS juga akan mengedar karya terjemahan surah al-Hujurat.
“Untuk menjayakannya, buku terjemahan tafsir surah ini iaitu karya Sheikh Majdi Makki terbitan ANAS akan digunakan dan diedar di setiap lokasi terlibat,” katanya.
Program Selangor Bertadabbur mula diperkenal sejak 2019 bagi menghidupkan Ramadan dengan kegiatan keagamaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







