BERITA SEMASA

Kadar sewa premis PBT seluruh Selangor dikurangkan 30 peratus selama 6 bulan

SHAH ALAM – Kadar sewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor dikurangkan sebanyak 30 peratus selama enam bulan bagi membantu lebih 21,000 peniaga yang berdepan tekanan ekonomi susulan krisis bekalan global.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengurangan kadar sewa itu berkuat kuasa mulai Julai hingga Disember depan melibatkan semua PBT di negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan membantu komuniti penjaja dan peniaga yang menjadi antara penggerak utama ekonomi harian rakyat agar dapat terus menjalankan perniagaan tanpa perlu menaikkan harga jualan.

“Komuniti penjaja yang menyewa kedai dan gerai di premis PBT merupakan usahawan barisan hadapan yang mewakili ekonomi harian rakyat,” katanya ketika membentangkan Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Undangan (DUN) Negeri Selangor, di sini hari ini.

Inisiatif itu, katanya, dijangka memberi manfaat kepada 21,234 peniaga di seluruh Selangor dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta disediakan oleh kerajaan negeri.

Related Articles

Beliau menambah, pengurangan kadar sewa itu akan diberikan secara automatik tanpa memerlukan sebarang permohonan daripada peniaga yang layak.

Selain membantu peniaga meneruskan operasi, inisiatif itu diharap dapat mengekang kenaikan harga makanan dan barangan yang memberi kesan langsung kepada pengguna.

“Program ini bukan sekadar bantuan kepada peniaga, tetapi juga sebahagian daripada usaha memastikan ekonomi tempatan terus bergerak dan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya lagi.

Pengurangan sewa premis PBT adalah antara 15 inisiatif yang diumumkan di bawah Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM209.26 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button