PLATS catat jualan melebihi RM10 juta
SHAH ALAM – Usaha Kerajaan Selangor membangunkan ekosistem keusahawanan digital menerusi Program Platform Selangor (PLATS) membuahkan hasil apabila mencatatkan nilai jualan terkumpul melebihi RM10 juta setakat ini.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, pencapaian tersebut direkodkan hasil pelaksanaan pelbagai program yang menonjolkan budaya keusahawanan cemerlang di negeri ini.
“Berdasarkan data kita, program Bazar Ramadan Agrobank PLATS mencatat nilai jualan mencecah sekitar RM8 juta.
“Ia berdasarkan data sistem peranti Point of Sales yang diberikan kepada usahawan kita, di situ hampir RM3 juta dikesan,” katanya dalam sidang akhbar Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2025 di sini, semalam.
Baca juga : Lebih 88,000 peniaga mikro berdaftar bukti kejayaan inisiatif PLATS
PLATS pula merupakan satu inisiatif digitalisasi perniagaan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri pada tahun 2020 bagi membantu penjaja kecil, peniaga mikro dan usahawan menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi digital .
Tambah Ahmad Azri, seramai 88,000 usahawan telah menyertai program itu setakat ini, menghampiri sasaran 100,000 usahawan yang ditetapkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Ujarnya lagi, PLATS memberi tumpuan kepada usahawan mikro terdiri daripada penjaja dan peruncit kecil, terutamanya dalam sektor makanan dan minuman serta perkhidmatan.
“Ekonomi mikro antara penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pergerakan ekonomi yang berlaku dalam negeri merancakkan ekonomi.
“Dengan ramai peniaga yang berjaya sudah tentu ia menunjukkan kegiatan ekonomi itu baik khususnya di Selangor,” katanya.
Menurut Ahmad Azri, pihaknya kini menjalinkan kerjasama bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi memperkasa usahawan di bawah program tersebut agar produk mereka dapat menembusi pasaran antarabangsa.
“Kita juga akan ke Shanghai, China pada November dan akan melihat bagaimana kita boleh memasarkan produk di situ selain ke Timur Tengah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














