BERITA SEMASA

Polis masih siasat motif pelajar serang guru di Kuching

KUCHING – Motif seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai menyerang seorang guru wanita di sebuah sekolah swasta di sini kelmarin, masih dalam siasatan polis.

Perkembangan lanjut berhubung kes itu dijangka diketahui menerusi sidang media yang akan diadakan pada 27 Oktober ini selepas pihak polis melengkapkan siasatan berkenaan.

Bahagian Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak memaklumkan bahawa pasukan penyiasat sedang mengambil tindakan lanjut, termasuk mendapatkan serta mengesahkan fakta bagi memastikan maklumat yang diperoleh tepat.

“Kami memohon kerjasama semua pihak untuk memberikan ruang kepada pasukan penyiasat menjalankan siasatan dengan teliti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.03 pagi itu, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan kecemasan berhubung insiden berkenaan menerusi talian MERS 999.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit dipercayai membawa mercun sebelum mencederakan guru wanita berkenaan menggunakan kapak sehingga menyebabkan mangsa mengalami luka pada tangan.

“Pelajar itu ditahan sejurus selepas kejadian sebelum dirujuk ke wad psikiatri Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan pemilikan bahan letupan.

Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan demi menjaga kepentingan semua pihak serta menghormati proses perundangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button