Rafizi arah peguam saman Ramanan berhubung dakwaan fitnah
KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengarahkan pasukan peguamnya memulakan proses saman terhadap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan susulan dakwaan tohmahan terhadapnya dalam sidang media semalam.
Rafizi berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan pasukan peguamnya yang berpandangan terdapat asas kukuh untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan kenyataan Ramanan yang didakwa melanggar undang-undang fitnah negara.
Menurutnya, beliau telah menyerahkan video dan transkrip sidang media Ramanan kepada pasukan peguam untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, sidang media itu turut mengesahkan Ramanan tidak pernah mengambil tindakan mahkamah berhubung kenyataannya yang menamakan Ahli Parlimen PKR itu sebagai individu yang didakwa mengambil suapan RM9.5 juta bagi menyelesaikan kes mafia korporat.
“R. Ramanan juga mengulangi bahawa beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang mengenai kenyataan itu, berbeza dengan cabaran beliau untuk menyaman sesiapa yang mengaitkan beliau, seperti di dalam satu sidang media terdahulu,” katanya dalam kenyataan.
Bekas Menteri Ekonomi itu mendakwa, perkembangan itu membuktikan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen minggu ini, yang menyatakan Ramanan telah mengambil tindakan mahkamah, adalah tidak benar.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada Ahli Parlimen untuk mempertimbangkan tindakan lanjut dengan merujuk Anwar kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung dakwaan membuat kenyataan tidak benar di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, Ramanan turut membuat pelbagai tohmahan terhadapnya dalam sidang media berkenaan, termasuk menuduh beliau terbabit dalam rasuah.
Beliau berkata, tindakan saman itu juga wajar memandangkan Ramanan didakwa terus mengelak daripada menjawab beberapa tuduhan berkaitan dirinya dan rasuah.
Rafizi menambah, sekiranya Ramanan enggan mengambil tindakan saman terhadapnya berhubung kenyataan yang dibuat sebelum ini, keadaan itu membuka ruang untuk beliau membawa menteri berkenaan ke mahkamah susulan tohmahan terhadap dirinya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








