BERITA SEMASA

Peguam kelahiran Malaysia dilantik bakal pengerusi rangkaian firma guaman global Multilaw

KUALA LUMPUR – Peguam kelahiran Malaysia, Joanne Vengadesan mencipta pencapaian membanggakan apabila dipilih sebagai bakal Pengerusi (Chair-Elect) Multilaw, antara rangkaian firma guaman terkemuka dunia yang mempunyai kehadiran di lebih 100 negara.

Pelantikan itu diumumkan pada Persidangan Global Multilaw di Prague, Republik Czech, awal bulan ini, sekali gus membuka laluan kepada Joanne untuk menerajui rangkaian guaman antarabangsa itu bagi penggal dua tahun bermula September 2027.

Joanne memulakan kerjaya sebagai peguam selepas diterima masuk ke Badan Peguam Malaysia sebagai Peguambela dan Peguamcara pada 1997, sebelum mengamalkan bidang undang-undang harta intelek di Kuala Lumpur.

Beliau kemudian melanjutkan kerjaya di United Kingdom (UK) dan kini sudah 25 tahun berkhidmat dalam bidang perundangan di negara itu.

joanne
Joanne (dua dari kanan) bersama Helen Drayton (kiri), Richard Marshall dan Simon Bickerdike (kanan) meraikan kejayaan Penningtons Manches Cooper memenangi anugerah Firma Terbaik Tahun 2026 pada Anugerah Multilaw.

Menurut Joanne, pelantikan berkenaan merupakan satu penghormatan besar dan beliau menantikan tanggungjawab memimpin rangkaian itu pada masa hadapan.

Beliau berkata, latar belakang sebagai rakyat Malaysia yang bekerja di UK memberikan perspektif tersendiri, terutama kerana masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya membolehkan seseorang membesar dengan selesa dalam persekitaran yang pelbagai.

“Multilaw memainkan peranan besar dalam kerjaya saya dan saya teruja dengan cabaran serta peluang baharu yang bakal tiba.

“Saya amat berbangga dengan rangkaian ini yang terus berkembang. Hubungan erat, kepercayaan bersama dan jaringan antara firma ahli membolehkan kami memanfaatkan kerjasama bagi memenuhi keperluan pelanggan masing-masing,” katanya.

Joanne kini merupakan rakan kongsi firma guaman antarabangsa Penningtons Manches Cooper LLP yang beribu pejabat di London, selain mempunyai beberapa pejabat di seluruh UK serta di Sepanyol, Perancis, Greece dan Singapura.

Di firma berkenaan, beliau mengetuai kumpulan sektor teknologi dengan pengkhususan dalam kecerdasan buatan (AI), teknologi dan data.

Kepakaran beliau dalam bidang berkenaan turut mendapat pengiktirafan melalui direktori perundangan bebas di UK, hasil penglibatan dalam kerja berkaitan teknologi dan data yang semakin berkembang.

Walaupun menetap di UK bersama keluarga, Joanne kekal rapat dengan Malaysia dan beberapa kali dijemput berkongsi kepakaran mengenai transformasi digital serta AI dalam sesi perkongsian ilmu anjuran Badan Peguam Malaysia, khususnya melalui Jawatankuasa Teknologi Perundangan, AI dan Sandbox.

Beliau juga mempunyai hubungan profesional rapat dengan firma guaman Malaysia, Lee Hishamuddin Allen & Gledhill (LHAG) menerusi rangkaian Multilaw.

Joanne turut membesar dalam keluarga yang mempunyai latar belakang diplomatik apabila bapanya, Datuk R Vengadesan pernah berkhidmat sebagai Duta Malaysia ke beberapa negara termasuk Itali dan Namibia.

Pengalaman membesar di Belgium dan Thailand sebelum melanjutkan pengajian di UK, selain pernah menetap bersama keluarga di Jepun, Mali dan Senegal, membentuk perspektif antarabangsa beliau.

Multilaw merupakan rangkaian global firma guaman yang mempunyai kira-kira 300 pejabat di lebih 100 negara. Rangkaian itu menghubungkan firma guaman bebas bagi membantu pelanggan menangani keperluan perundangan antarabangsa melalui kerjasama rentas sempadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Penningtons Manches Cooper LLP, Helen Drayton menyifatkan pelantikan Joanne sebagai pengiktirafan terhadap bakat, dedikasi dan kerjasama erat beliau dengan rakan sekerja di firma serta rangkaian Multilaw.

“Saya amat gembira dan bangga dengan pelantikan Joanne. Ia membuktikan bakat dan dedikasi beliau, selain kerjasama erat dengan rakan sekerja di seluruh firma dan rangkaian Multilaw,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Multilaw, Adam Cooke yang mengenali Joanne hampir 20 tahun berkata, beliau menyaksikan sendiri tenaga, wawasan dan sikap mesra yang dibawa peguam itu kepada rangkaian berkenaan.

Katanya, Joanne memahami kekuatan utama Multilaw yang berteraskan hubungan kukuh, kepercayaan bersama serta cita-cita untuk memajukan firma ahli dan pelanggan mereka.

Rakan kongsi LHAG, Andrew Chiew turut menyambut baik pelantikan itu dan menyifatkannya sebagai perkembangan positif bagi rangkaian tersebut serta firma guaman Malaysia yang memanfaatkan kerjasama antarabangsa Multilaw.

Menurutnya, rangkaian itu memainkan peranan penting dalam membantu LHAG memenuhi keperluan perundangan antarabangsa pelanggannya, dan pelantikan Joanne memberikan keyakinan terhadap kesinambungan kepimpinan Multilaw.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button