2 pelajar sekolah maut kemalangan
KOTA TINGGI – Dua pelajar sekolah lelaki berusia 14 tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Jalan Sedili Kecil-Tanjung Balau, pada petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu sekitar pukul 2.35 petang.
“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki dua remaja lelaki dari arah Tanjung Balau hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Suzuki Swift dipandu seorang wanita tempatan berusia 44 tahun dari arah Sedili.
“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua remaja berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Adam Haris Al’Hafiz Norezmalshah Jasne dan Mohamad Alif Fahimi R Azmi.
“Kedua-dua mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat.
“Walaubagaimanapun pemandu wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
“Mahkamah juga boleh mengarahkan lesen memandu digantung sehingga tempoh lima tahun,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















