Tiga maut dalam nahas Myvi bertembung treler muatan diesel di Gua Musang
GUA MUSANG – Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler membawa muatan diesel di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Gua Sejuk, di sini pagi tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 7.16 pagi itu, mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki, manakala seorang lagi wanita mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 7.16 pagi sebelum menggerakkan lapan anggota bersama dua jentera ke lokasi.
Menurut beliau, pasukan bomba tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 7.52 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler membawa muatan diesel dengan sebuah Perodua Myvi.
“Treler itu dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang berada di dalam kereta tersepit sebelum anggota bomba berjaya mengeluarkan mereka menggunakan peralatan khas menyelamat,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata, wanita yang cedera telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















