BERITA SEMASA

Bekas KP Pendidikan wanita pertama negara, Tan Sri Asiah meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah (KP) Pendidikan wanita pertama negara, Tan Sri Asiah Abu Samah meninggal dunia pada usia 89 tahun di Hospital KPJ Damansara, di sini, pada pukul 5 pagi tadi.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat sakit jantung, menurut pengesahan anak saudaranya, Shafinaz Shamsudin.

Shafinaz berkata, urusan mandi dan kafan jenazah dijadualkan berlangsung pada pukul 10 pagi di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, sebelum disolatkan selepas solat Zuhur.

“Jenazah Allahyarham kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara,” katanya memetik laporan BH Online.

Pemergian Allahyarham meninggalkan legasi tersendiri dalam sektor pendidikan negara apabila beliau mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan pada 27 November 1991.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Penang Free, Pulau Pinang, selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sejarah dan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya, Singapura, pada 1961.

Sepanjang berkhidmat dalam bidang pendidikan, Allahyarham memegang pelbagai jawatan penting, termasuk di Institut Bahasa di Lembah Pantai, Kolej Tunku Kurshiah di Seremban serta beberapa bahagian di Kementerian Pendidikan.

Pengalaman luas dalam pentadbiran pendidikan menyaksikan Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan II sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan I pada pertengahan 1990.

Allahyarham kemudian memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran pendidikan negara sebelum bersara wajib sebagai Ketua Pengarah Pendidikan pada 1992.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button