BERITA SEMASA

Dua penuntut ADTEC maut nahas motosikal rempuh lori

BATU PAHAT – Dua penuntut Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kampus Batu Pahat maut, manakala dua lagi rakan mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan dua motosikal di Kilometer 136, Jalan Muar–Batu Pahat berhampiran Kampung Parit Orang Kaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang terkorban ialah Muhammad Hariz Nizam dan Pugalenthi Phaventhan, kedua-duanya berusia 21 tahun serta mengikuti pengajian dalam bidang Teknologi Mekatronik.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori dari arah Batu Pahat menghala ke Kesang, Muar cuba membelok ke simpang di sebelah kanan.

Menurutnya, ketika lori berkenaan membelok, sebuah motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan tersebut.

“Pada masa sama, sebuah lagi motosikal yang dinaiki dua rakan mangsa dari arah sama turut melanggar lori berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua lagi mangsa yang juga berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), manakala pemandu lori berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Sementara itu, ADTEC Batu Pahat dalam satu kenyataan menzahirkan rasa dukacita atas pemergian dua penuntutnya yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada warga kampus.

“Semoga keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Dua lagi penuntut yang cedera kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button