Pelajar tingkatan enam positif dadah selepas bercuti di Thailand
BUKIT KAYU HITAM – Seorang pelajar tingkatan enam antara 23 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah selepas pulang dari bercuti di Thailand, pagi kelmarin.
Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, mereka ditahan menerusi Op Merdeka 2025 yang dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam bermula jam 3 petang Sabtu hingga 1 tengah hari Ahad.
Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan tiga pegawai dan 12 anggota AADK dengan fokus mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah serta membanteras kemasukan bahan terlarang melalui sempadan negara.
“Sebanyak 30 kenderaan dan 15 motosikal diperiksa. Seramai 31 individu diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dan daripada jumlah itu, 23 didapati positif pelbagai jenis dadah,” katanya pada sidang media semalam.
Khairul Anwar berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan dua wanita berusia antara 18 hingga 40 tahun.
“Pelajar tingkatan enam itu bersama pasangannya berusia 25 tahun ditahan kira-kira jam 6 pagi. Hasil ujian mendapati pelajar tersebut positif ketamin yang dipercayai diambil ketika berhibur di sebuah pusat hiburan.
“Selain itu, individu lain pula dikesan positif ganja, methamphetamine dan MDMA,” katanya lagi.
Beliau berkata, semua mereka ditahan di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut.
Hasil siasatan awal mendapati kebanyakan yang ditahan merupakan pengguna kali pertama yang mengambil dadah ketika berkunjung ke pusat hiburan.
“AADK mencadangkan agar ujian air kencing terus dilaksanakan ke atas pelajar bagi mengesan penyalahgunaan dadah, khususnya di sekolah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








