BERITA SEMASA

Singapura akui ambil doktor Malaysia, tetapi jumlah kecil

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan doktor dari Malaysia antara negara sumber yang dipertimbangkan bagi memenuhi keperluan sektor kesihatan republik itu, namun jumlah pengambilan tersebut adalah kecil.

Menterinya, Ong Ye Kung berkata, pengambilan tenaga kerja perubatan asing bukan perkara baharu, namun majoriti doktor yang berkhidmat di Singapura tetap terdiri daripada rakyat tempatan.

Menurut beliau, Singapura kini mempunyai tiga sekolah perubatan nasional Universiti Nasional Singapura (NUS), sekolah perubatan pascasiswazah Duke-NUS dan sekolah perubatan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang dibangunkan bersama Imperial College yang mampu melahirkan kira-kira 550 doktor setiap tahun.

“Dahulu hanya NUS melahirkan doktor dan bilangannya tidak mencukupi.

“Penubuhan dua lagi sekolah perubatan ini meningkatkan kapasiti negara.
Selain itu, ramai rakyat Singapura yang tidak mendapat tempat di universiti tempatan memilih untuk belajar di luar negara dan kami mahu mereka kembali berkhidmat,” memetik laporan NST.

Beliau berkata, walaupun dari semasa ke semasa Singapura mengambil doktor dari luar negara seperti dari United Kingdom (UK), India dan Malaysia, jumlahnya adalah kecil berbanding jumlah keseluruhan tenaga perubatan di negara itu.

“Mereka hanya sebahagian kecil. Asas utama sektor kesihatan kami tetap bergantung kepada doktor tempatan,” katanya lagi.

Pada 30 Oktober lalu, Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, rakan sejawatnya di Singapura menafikan penglibatan kerajaan republik itu dalam merekrut doktor dan jururawat Malaysia.

“Kegiatan tersebut dilakukan oleh agensi swasta dan beliau telah menerima pengesahan perkara itu secara langsung daripada Ye Kung.

“Beliau menyatakan kekesalan dan memaklumkan perkara itu digerakkan oleh agensi swasta. Kita akan teruskan libat urus kerana isu ini bukan kali pertama berlaku,” katanya lagi.

Isu penghijrahan doktor Malaysia ke Singapura terus menjadi perbincangan, khususnya melibatkan tawaran gaji lebih tinggi serta peluang kerjaya yang lebih luas di republik tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button