
Selepas lama menanti, Min Youn menjadi satu-satunya penuntut berbangsa Cina tamatkan kursus komando
MELAKA – Leftenan Muda Chan Min Youn menjadi satu-satunya penuntut berbangsa Cina yang menamatkan Kursus Asas Komando Gerup Gerak Khas (GGK) baru-baru ini.
Kejayaan beliau menamatkan latihan selama 12 minggu ini telah melayakkannya untuk dianugerahkan Beret Hijau.

Selain dianugerahkan Beret Hijau, beliau juga turut dianugerahkan pisau komando sekali gus bergelar warga Gerup Gerak Khas (GGK).
Perkongsian itu telah dimuat naik di akaun Tiktok Berita Tentera Darat Malaysia.
Difahamkan, beliau merupakan pegawai daripada Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) sebelum menyertai Kursus Asas Komando GGK pada tahun ini.
Chan yang berasal dari Setapak, Kuala Lumpur itu merupakan graduan perakaunan daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Ketika menerima Beret Hijau dan Pisau Komando, beliau menjelaskan bahawa beliau mahu menjadi seorang pegawai tentera disebabkan minat.
“Saya mahu berkhidmat kepada negara, tuan,” katanya dengan jelas sewaktu Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando.
Chan berkata, bahawa dirinya sebenarnya menganggotai pasukan Rejimen 515 Askar Wataniah (AW)
“Saya tidak ada pengetahuan pun mengenai komando. Ketika berada di 515 AW, di situlah saya mula berpijak dalam dunia ketenteraan.
“Apabila mengenali dunia komando, saya mahu mencabar diri saya untuk menyertai komando dan buktikan kepada diri saya walaupun Askar Wataniah, saya pun boleh jadi seorang komando,” katanya semasa ditemubual oleh berita Angkatan Tentera.
Ketika ditanya berkenaan matlamat, Chan komited untuk terus berkhidmat sebagai seorang komando untuk menambah ilmu pengetahuan secara berterusan.
“Saya berharap dapat terus berkhidmat sebagai seorang komando dan menjadi seorang komando yang berkualiti dan menjaga nama baik komando sehingga akhir hayat saya,” katanya lagi.
Seramai 69 penuntut telah dianugerahkan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang pada 28 April.
Menurut Berita Tentera Darat Malaysia, perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando ini melibatkan sembilan orang pegawai dan 60 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Upacara penganugerahan beret hijau dan pisau komando telah disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








