BERITA SEMASA

Malaysia desak UNSC jamin keselamatan anggota pengaman UNIFIL

PUTRAJAYA – Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan anggota pengaman Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), susulan insiden serangan berterusan di negara berkenaan.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, Malaysia menzahirkan kecaman keras terhadap tindakan yang disifatkan sebagai serangan berulang terhadap pasukan pengaman PBB yang sedang melaksanakan mandat keamanan di Lubnan.

“Malaysia menggesa semua pihak menghormati gencatan senjata, meredakan ketegangan serta memberi kerjasama penuh kepada UNIFIL dalam melaksanakan mandat di bawah Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 (2006),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wisma Putra turut menyifatkan insiden serangan terhadap pasukan pengaman sebagai satu pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta menuntut keadilan terhadap anggota yang terkorban dan cedera.

Dalam pada itu, Malaysia mengesahkan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang sedang berkhidmat di bawah misi UNIFIL berada dalam keadaan selamat.

Kerajaan turut merakamkan ucapan takziah kepada Kerajaan Perancis serta keluarga anggota pengaman yang terkorban dalam insiden di Ghanduriyah, Lubnan, selain mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang cedera.

Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam menyokong usaha keamanan antarabangsa melalui penyertaan dalam misi pengaman PBB.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button