Kapal tangki karam di Pedra Branca, semua anak kapal selamat
SINGAPURA – Kapal tangki Silver Sincere yang berdaftar di Malaysia karam di perairan Singapura berhampiran Pedra Branca, semalam.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), kesemua lapan anak kapal berjaya diselamatkan.
MPA berkata, operasi menyelamat melibatkan kapal kargo Indonesia, Intan Daya 368 yang diarah memberikan bantuan selepas panggilan kecemasan diterima pada pukul 3.40 petang.
“Nakhoda kapal berjaya memindahkan semua kru dari kapal yang tenggelam.
“Semua anak kapal berada dalam keadaan selamat dan akan diturunkan di Batu Ampar, Indonesia,” kata jurucakap MPA.
MPA dengan kerjasama Tentera Laut Republik Singapura dan Pengawal Pantai Polis Singapura telah menggerakkan kapal-kapal mereka untuk menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR).
MPA turut mengaktifkan kapal tunda penyelamat dan kapal tindak balas tumpahan minyak untuk memastikan tiada risiko pencemaran di kawasan kejadian.
Pada masa sama, amaran keselamatan turut dikeluarkan kepada kapal-kapal agar menjauhi kawasan berkenaan.
MPA turut berkata, kejadian tersebut tidak menjejaskan laluan trafik navigasi di Selat Singapura.
“Ketika insiden berlaku, kapal Silver Sincere dilaporkan mengalami kebocoran yang menyebabkan air memasuki bahagian kapal sehingga ia karam,” katanya lagi.
Langkah berjaga-jaga terus diambil bagi memastikan keselamatan di lokasi kejadian dan usaha pemulihan kapal menjadi tumpuan pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








