
Empat lemas, enam hilang nahas bot karam di Pantai Belawai
KUCHING – Empat mangsa ditemukan lemas manakala enam lagi hilang selepas sebuah bot gentian kaca yang membawa 17 penumpang karam di Pantai Belawai, Mukah, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.11 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi sekitar pukul 3.12 petang, komander operasi memaklumkan sebuah bot gentian kaca yang membawa 17 orang penumpang telah karam di kawasan pantai.
“Empat mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tujuh mangsa berjaya diselamatkan manakala enam lagi masih belum ditemukan.
“Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan di kawasan sekitar pantai dengan bantuan pasukan penyelamat dari agensi Sarawak Coast Guard.
“Maklumat lanjut mengenai identiti mangsa sedang dikumpulkan menerusi pemandu bot yang terselamat dalam kejadian,” katanya lagi.
Identiti semua mangsa yang lemas dan hilang masih belum dikenal pasti setakat ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








