BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Malaysia temukan mangsa lemas bot karam di Sandakan

SANDAKAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan hari ini mengesahkan penemuan mayat seorang nelayan yang dipercayai salah seorang daripada dua mangsa hilang sejak 29 November lalu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, mayat berkenaan ditemukan oleh Penyelam Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) pada pukul 12.22 tengah hari di kedudukan 8.1 batu nautika utara Pulau Nunuyan, lokasi dipercayai bot mangsa karam.

Menurutnya, identiti mayat sedang dikenal pasti namun pengecaman awal keluarga mengesahkan mangsa ialah Akbar, 24, warganegara Indonesia, salah seorang daripada dua kru bot yang dilaporkan hilang.

Mayat itu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi proses pengecaman rasmi dan bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua hari ini digerakkan menggunakan aset Maritim Malaysia termasuk KM Peringgi, Bot Banggi 44 dan Adal 14, disokong Bot FIC 2205 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bot PSC 13 Pasukan Polis Marin (PPM) serta bot Sealeg milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kepten Muhamad Suhairy Hussain membuat sidang media mengenai penemuan mayat salah seorang mangsa bot karam berhampiran Pulau Nunuyan, Sandakan, Sabah.

Beliau berkata, pasukan penyelam turut dikerah bagi meneruskan pencarian seorang lagi mangsa, Mohd Aswal Arman, 32, yang masih belum ditemukan.

Maritim Malaysia juga memaklumkan pihaknya sedang berhubung dengan Konsulat Indonesia berhubung perkembangan kes itu.

Agensi itu menasihati komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut termasuk memakai jaket keselamatan, memastikan peralatan komunikasi berfungsi dan bot berada dalam keadaan baik.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di 089-221923.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button