Mangsa culik ditemui bergari dalam homestay, dua suspek maut ditembak
ALOR SETAR – Dua mangsa culik yang ditemui dalam keadaan mata ditutup dan tangan bergari berjaya diselamatkan polis dalam satu operasi khas di sebuah homestay di Taman Amira, Telaga Bata malam kelmarin.
Operasi yang dijalankan kira-kira jam 8.40 malam itu turut menyaksikan dua suspek dipercayai anggota kumpulan penculik maut selepas berbalas tembakan dengan pasukan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pasukan daripada Bahagian Siasatan Khas (D9) Bukit Aman menyerbu premis berkenaan selepas mengesan lokasi mangsa disembunyikan.
Menurutnya, suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah polis ketika serbuan dijalankan, menyebabkan pasukan keselamatan terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri.
“Hasil operasi itu, dua mangsa culik berjaya diselamatkan. Mereka terdiri daripada seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 70-an dan seorang wanita warga asing berusia 30-an.
“Kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan mata ditutup dan tangan bergari di dalam rumah yang dipercayai disewa suspek sebagai tempat persembunyian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang dipercayai warga asing disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Polis turut merampas dua pucuk pistol separa automatik jenis Beretta yang mengandungi lima butir peluru, sebuah revolver berisi empat butir peluru serta sebilah parang panjang berhampiran suspek.
Susulan kejayaan operasi itu, beberapa serbuan susulan dijalankan di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sebelum membawa kepada penahanan enam lagi individu.
Mereka terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Menurut Kumar, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik bagi tujuan wang tebusan, manakala permohonan reman akan dibuat terhadap semua suspek mengikut Seksyen 12 akta yang sama.
Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ooi berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan mengenai kejadian tembak-menembak tersebut melalui kumpulan WhatsApp penduduk taman perumahan berkenaan.
‘Seorang jiran mendakwa terdengar beberapa das tembakan ketika mahu membuang sampah sebelum bergegas masuk semula ke dalam rumah,’ katanya lagi.
Menurut Ooi, rumah yang dijadikan lokasi persembunyian mangsa dipercayai beroperasi sebagai homestay dan sering disewa oleh individu yang berbeza, menyebabkan kehadiran suspek tidak menimbulkan sebarang syak wasangka dalam kalangan penduduk.
“Kawasan ini sebelum ini aman dan tidak pernah berlaku kejadian seperti ini. Sebab itu ramai penduduk terkejut apabila mengetahui ada kes culik dan tembak-menembak berlaku di sini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














