BERITA SEMASALUAR NEGARA

Bayi Palestin tujuh bulan maut ditembak tentera Israel di Hebron

HEBRON – Seorang bayi Palestin berusia tujuh bulan terbunuh manakala kedua-dua ibu bapanya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka ditembak tentera Israel di bandar Hebron, Tebing Barat yang diduduki, pada Jumaat.

Mangsa, Sam Fahd Abu Haikal, dikebumikan semalam selepas jenazahnya dibaluti kain kafan putih dan bendera Palestin serta dibawa ke sebuah masjid berhampiran untuk solat jenazah.

Menurut ahli keluarga, kejadian berlaku ketika bayi itu bersama ibu bapanya menaiki kereta di kawasan Tel Rumeida, selatan Hebron, sebelum mereka terserempak dengan anggota tentera Israel.

Nenek mangsa, Firyal, berkata keluarganya memberhentikan kenderaan sebaik melihat tentera Israel berada di kawasan berkenaan, namun beberapa das tembakan dilepaskan ke arah mereka.

Salah satu peluru menembusi cermin hadapan kenderaan sebelum mengenai lengan bapanya, Fahd Abu Haikal, dan seterusnya terkena kepala bayi tersebut serta mencederakan ibunya di bahagian muka.

“Mereka berada kira-kira 10 meter dari kami. Peluru itu menembusi cermin hadapan kereta, mengenai saya, kemudian anak saya dan isteri saya,” kata Fahd.

Beliau menolak dakwaan bahawa kejadian itu berlaku secara tidak sengaja, sambil menegaskan apa yang menimpa keluarganya tidak boleh dianggap sebagai satu kesilapan semata-mata.

Tentera Israel dalam kenyataan berkata, seorang anggota melepaskan satu das tembakan selepas menyangka sebuah kenderaan sedang memecut ke arah mereka.

Tentera turut mengakui terdapat orang awam yang tidak terlibat menjadi mangsa dalam insiden tersebut.

Bagaimanapun, pihak tentera memaklumkan kejadian itu sedang disemak dan siasatan dalaman telah dimulakan, namun tidak mendedahkan identiti anggota yang terlibat atau sama ada mereka masih bertugas sepanjang siasatan dijalankan.

Insiden berkenaan berlaku ketika ketegangan terus memuncak di Tebing Barat, dengan penduduk Palestin dan tentera Israel kerap terlibat dalam pertembungan yang mengorbankan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button