PENDAPATRENCANA

Gelombang Sumud: Dari laut ke solidariti dunia maya

DI SEBALIK gemuruh gelombang laut memukul kapal dalam kumpulan flotilla, terdapat satu penyatuan semangat dalam kalangan sukarelawan ibarat api yang membara, api yang tidak dapat dipadam oleh banyaknya ancaman, sekatan mahupun jarak. Mereka bukan sekadar datang membawa bantuan kemanusiaan tetapi harapan seluruh umat seantero dunia yang menolak untuk berdiam diri terhadap kezaliman. Keberanian mereka adalah terwujud zahir dari empati dan perjuangan mempertahankan hak asasi manusia.

Gerakan maritim antarabangsa atau lebih dikenali sebagai Global Sumud Flotilla (GFS) bermula pada pertengahan tahun 2025 dengan membawa satu impian besar untuk menembusi sekatan di Tebing Gaza. Perjalanan kapal-kapal mereka bermula di pelbagai pelabuhan Eropah seperti Barcelona, Sepanyol, Itali, Tunisia dan Greece. Gelombang ini mengetengahkan empat fasa iaitu fasa pertama hingga fasa keempat yang mewakili fasa-fasa berbeza dalam pelayaran dan usaha memecahkan sekatan laut, di mana setiap gelombang mempunyai cabaran yang berlainan seperti cuaca buruk, penampakan dan serangan dron serta pemintasan oleh tentera laut Zionis.

Namun, perjalanan mereka belum berakhir. Jika kita merentasi ke peredaran dunia yang semakin terhubung tanpa batasan, perjuangan umat Islam bukan lagi bertumpu hanya pada medan peperangan, jalanan atau ruang diplomasi bahkan kini, ia turut bergema di segenap ekosistem siber digital.

Gelombang Sumud merupakan isyarat permulaan kepada penyatuan jutaan jiwa tanpa batas wilayah. Ia menjalar ke dunia maya, platform media sosial seperti Instagram, TikTok, X, WhatsApp, Telegram bahkan pelusuk maya yang lain perlahan menjadi sebuah ombak solidariti yang kuat.

Fenomena ini dapat dilihat dari sudut pandang ilmiah adalah suatu bentuk gelombang sosial yang memanfaatkan teknologi informasi. Jutaan manusia bersatu hati dalam menyebarkan segala maklumat berkenaan saudara-saudara Gaza kita di sana. Ia bukan sekadar tindakan berkongsi berita tetapi sebuah manifestasi kesedaran kolektif bersama yang menolak menjadi pemerhati pasif.

Setiap hantaran yang disebar menerusi media sosial menjadi satu bentuk keprihatinan dan suara bersama menentang penindasan Zionis. Ini membuktikkan bahawa ia bukanlah sebuah perjuangan tidak pernah mati hanya berubah bentuk dan medium.

Kemuncak kepada perluasan sebaran tentang Sumud ini, suka saya menguatkan lagi bahawa pihak Global Sumud Flotilla bukan sekadar sebuah misi pelayaran ke Gaza, malah satu simbol keteguhan dan solidariti sejagat menentang penindasan dan sekatan yang seolah-olah tidak berperikemanusiaan. Keterlibatan lebih 500 aktivis dari 44 negara yang berani meyahut cabaran menghadapi ancaman tentera dan sekatan laut demi menuntut hak asasi dan membuka laluan kemanusiaan. Gerakan ini menegaskan bahawa perjuangan bukan hanya milik Palestin tetapi isu kemanusiaan global yang menyeru kepada kesedaran dunia.

Walaupun pelayaran ini menghadapi serangan dan tahanan seperti penahanan 495 aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia yang kemudian dibebaskan, semangat ‘sumud’ masih terus mekar dalam hati rakyat sehingga membangkitkan ribuan penyokong baharu termasuklah 20,000 rakyat Malaysia yang mendaftar untuk menyertai misi ini selepas kejayaan misi yang terakhir.

Dengan kekuatan gelombang budaya, artisan dan aktivisme kemanusiaan yang bersepadu, Sumud Flotilla berperanan mengajak semua pihak untuk terus berdiri teguh, bersolidariti mendesak pembukaan laluan yang selamat serta menuntut hak kemanusiaan dan keadilan yang selama ini dinafikan di bumi Gaza.

Gelombang solidariti maya terhadap perjuangan Gaza membawa implikasi sosial dan politik yang signifikan. Dari sudut sosial, solidariti maya memberi ruang kepada masyarakat yang dari pelbagai latar belakang dan negara untuk bersatu hati dalam satu komuniti maya yang kuat.

Contoh yang berlaku, ribuan orang berkumpul secara fizikal dan maya diseluruh dunia dalam himpunan solidariti di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat. Selain itu, peluasan penyebaran maklumat dan naratif kemanusiaan. Melalui platform media sosial ini, maklumat terus menerus disebarkan sewaktu peserta flotilla bersiaran langsung dan ketika mereka dihalang dan ditahan oleh tentera Zionis.

Ini menjadi bukti penting yang mempengaruhi media antarabangsa dan pandangan dunia dan memperkuatkan lagi naratif kemanusiaan yang sukar ditandingi oleh media konvensional. Masyarakat dunia menjadi lebih peka serta lebih berani bersuara menentang kezaliman walau hanya melalui ruang teknologi.

Dari sudut pandang politik pula, ia mendorong kepada tekanan diplomatik terhadap pihak yang dianggap melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa yang telah termaktub. Himpunan solidariti rakyat secara besar-besaran di pelbagai negara selepas penahanan peserta flotilla menunjukkan masyarakat memiliki kuasa untuk mendesak perubahan diplomatik. Tekanan ini mempengaruhi dasar luar negara dan meningkatkan sokongan terhadap hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

Sebagai penutup kata, ketika dunia cuba menormalisasikan kezaliman, ada satu sisi lain bangkit bersuara hanya melalui skrin kecil yang membawa kepada gema besar dunia. Solidariti adalah lambang nadi kekuatan umat dalam menghadapi cabaran zaman. Setiap perkongsian adalah tanda penentangan dan setiap doa adalah senjata. Maka, ini adalah satu wadah baharu Sumud moden iaitu keteguhan yang tidak tunduk hanya dengan peluru tetapi terus hidup mekar dengan kekuatan suara, iman dan kesatuan di alam maya.

ARTIKEL OLEH

Nur Nadiyatul Husna Zulkifly

Nur Nadiyatul Husna Zulkifly

Pelajar Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button