BERITA SEMASALUAR NEGARA

Dua pegawai kedutaan Israel maut ditembak di Washington

WASHINGTON – Dua pegawai Kedutaan Israel maut dalam insiden tembakan berhampiran Capital Jewish Museum di sini, malam tadi.

Ketua Polis Metropolitan Washington, Pamela Smith berkata, suspek dikenali sebagai Elias Rodriguez, 30, ditahan di lokasi kejadian selepas melepaskan tembakan ke arah mangsa seorang lelaki dan wanita.

“Kejadian itu dipercayai bermotifkan kebencian berasaskan ideologi.

“Kedua-dua mangsa merupakan pasangan muda dan difahamkan sedang merancang untuk bertunang. Mereka ditembak di persimpangan Jalan 3 dan F, tidak jauh dari pejabat lapangan FBI dan Pejabat Peguam Negara,” katanya dalam sidang media.

Menurut Smith, siasatan awal mendapati suspek berada di luar muzium sebelum melepaskan tembakan secara rawak.

Ketika ditahan, Rodriguez melaungkan slogan “Bebaskan Palestin”, menunjukkan kemungkinan kaitan dengan sentimen geopolitik.

“Tiada rekod jenayah ditemui pada suspek dan beliau tidak dikenali oleh pihak berkuasa sebelum ini. Namun, kami sedang meneliti latar belakangnya dengan lebih mendalam,” jelas beliau.

Insiden tragis itu mendapat kecaman daripada pemimpin tertinggi kedua-dua negara.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam kenyataan di platform Truth Social, mengutuk serangan tersebut sebagai tindakan kebencian yang mesti dihentikan.

“Pembunuhan mengerikan ini yang jelas dipengaruhi oleh sentimen anti-Semitik, mesti dihentikan serta-merta. Ini bukan sahaja serangan ke atas rakyat Israel, tetapi juga serangan terhadap nilai kemanusiaan,” tegasnya.

Presiden Israel, Isaac Herzog, mengecam insiden berkenaan dan menuntut agar pelaku diadili dengan tegas.

“Kami amat berdukacita atas kehilangan dua warga Israel. Tindakan ini mencerminkan kebencian melampau yang mesti ditangani segera oleh pihak berkuasa AS,” katanya.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio; Peguam Negara, Pam Bondi dan Peguam Daerah Columbia, Jeanine Pirro hadir di lokasi bagi menyelaraskan siasatan yang diketuai FBI.

Jurucakap FBI mengesahkan siasatan dijalankan termasuk kemungkinan motif ideologi radikal atau politik.

Sehingga kini, identiti kedua-dua mangsa belum didedahkan secara rasmi sementara pihak Kedutaan Israel dilaporkan telah dimaklumkan dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button