20 pelajar pulang dari peperiksaan maut bot karam di Congo
KINSHASA – Sekurang-kurangnya 20 pelajar terbunuh selepas sebuah bot kayu yang membawa mereka pulang daripada menduduki peperiksaan negeri karam di wilayah Kasai, tengah Republik Demokratik Congo (DRC), semalam.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kejadian berlaku ketika bot itu memasuki kawasan pertemuan Sungai Sankuru dan Sungai Kasai, berhampiran wilayah Ilebo.
Pentadbir Wilayah Ilebo, Francois Kabula berkata, setakat ini seramai 80 mangsa berjaya diselamatkan manakala 20 mayat telah ditemukan.
“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan kerana dikhuatiri masih terdapat mangsa yang hilang,” katanya.
Bagaimanapun, seorang saksi kejadian, Tshikudi Jean mendakwa bot berkenaan sebenarnya membawa lebih 200 penumpang, jauh melebihi kapasiti yang sepatutnya.
Sekiranya angka itu disahkan, jumlah mangsa yang masih hilang dipercayai jauh lebih tinggi daripada laporan awal pihak berkuasa.
Punca sebenar nahas masih dalam siasatan, namun insiden bot karam sering berlaku di Republik Demokratik Congo akibat amalan membawa penumpang secara berlebihan, penggunaan bot yang tidak memenuhi piawaian keselamatan serta pelayaran pada waktu malam.
Presiden Pertubuhan Masyarakat Sivil Ilebo, Francois Malepo menyelar pengusaha bot yang didakwa lebih mementingkan keuntungan berbanding keselamatan penumpang.
“Pengusaha bot di DRC hanya mengejar keuntungan dan tidak menghiraukan nyawa manusia,” katanya.
Republik Demokratik Congo bergantung kepada rangkaian sungai yang luas sebagai pengangkutan utama, terutama di kawasan pedalaman yang kekurangan jalan raya dan infrastruktur.
Keadaan itu menyebabkan bot kayu menjadi pengangkutan harian bagi ribuan penduduk, termasuk pelajar, peniaga dan petani.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ratusan nyawa dilaporkan terkorban dalam kemalangan bot di negara Afrika Tengah itu, sekali gus mencetuskan desakan supaya kerajaan memperketat penguatkuasaan peraturan keselamatan dan meningkatkan kemudahan pengangkutan di kawasan luar bandar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















