Pelajar Tingkatan Enam meninggal dunia selepas rebah
MELAKA – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Enam meninggal dunia selepas rebah ketika sedang berbaris untuk menghadiri orientasi kokurikulum di sebuah sekolah menengah di Jalan Chan Koon Cheng, di sini semalam.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas, mangsa berusia 18 tahun dibawa ke Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas kejadian kira-kira pukul 2.40 petang, lapor SH Online.
Beliau berkata, mangsa diberikan bantuan pernafasan (CPR) selama kira-kira 68 minit namun disahkan meninggal dunia pukul 7.11 malam.
“Siasatan awal mendapati, mangsa sedang berbaris di koridor kelas bersama rakan-rakan bagi menghadiri orientasi kokurikulum sebelum tiba-tiba rebah dan berada dalam keadaan lemah.
“Guru besar sekolah yang menyedari kejadian itu segera menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hasil temu bual dengan ibu mangsa, pelajar terbabit tidak mempunyai sejarah menerima rawatan bagi sebarang penyakit atau pernah mengadu tidak sihat sebelum kejadian.
Mangsa yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu baru tiga minggu melanjutkan pengajian di Tingkatan Enam di sekolah berkenaan serta aktif dalam sukan.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati punca kematian disahkan akibat Coronary Artery Anomalies (keabnormalan saluran arteri koronari).
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















