BERITA SEMASA

Pelajar Tingkatan Dua maut terkena renjatan ketika ambil mata kail pada wayar elektrik

KOTA BHARU – Seorang pelajar Tingkatan Dua maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba mengambil mata kail yang tersangkut pada wayar elektrik menggunakan galah besi di Kampung Langgar, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.15 petang itu, Mohamad Amiruddin Anwar Md Azam, 14, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Anak sepupunya, Eizzrayyan Riduan, 10, yang turut terkena renjatan elektrik dalam kejadian sama kini menerima rawatan di hospital berkenaan.

Ibu mangsa, Norhabibi Jaafar, 52, berkata sebelum kejadian, anak sulungnya itu sempat mengikutnya mengambil adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar pada pukul 4.30 petang.

“Apabila tiba di rumah, saya masuk ke bilik untuk solat Asar. Ketika itu, dia bersama adik bongsunya, Azamuddin Azwa, 10, dan anak sepupunya, Eizzrayyan keluar menaiki basikal.

“Memang hobi arwah dan anak sepupunya memancing setiap petang. Saya dimaklumkan Azamuddin Azwa, ketika mereka mengayuh basikal, abangnya ternampak mata kail tersangkut pada wayar elektrik,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Menurut Norhabibi, Mohamad Amiruddin Anwar kemudian berpatah balik ke rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian untuk mengambil galah besi yang biasa digunakan bagi mengait buah.

Katanya, anaknya dipercayai cuba mengait mata kail berkenaan menggunakan galah itu sebelum terkena renjatan elektrik.

“Azamuddin Azwa melihat sendiri abangnya kaku sambil memegang galah berkenaan. Eizzrayyan yang berada berhampiran kemudian memegang Mohamad Amiruddin Anwar dan turut terkena renjatan.

“Kedua-duanya kemudian tersembam jatuh ke dalam tali air. Melihat kejadian itu, Azamuddin Azwa terus berlari meminta bantuan saudara-mara dan memberitahu saya abangnya terkena renjatan elektrik,” katanya.

Norhabibi berkata, sebaik tiba di lokasi, dia hanya mampu berdoa dan sudah menyangka hayat anak sulungnya itu mungkin tidak dapat diselamatkan.

Bagaimanapun, seorang doktor yang tinggal berhampiran lokasi kejadian tampil membantu melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum mangsa dibawa ke HRPZ II.

“Melihat keadaannya ketika itu, saya sudah reda. Sehinggalah dia meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Menurut ibu tunggal kepada tiga anak itu, arwah seorang yang pendiam dan amat gemar memancing.

“Dia selalu bawa pulang ikan yang berjaya dipancing, tetapi saya tidak makan ikan darat, jadi semuanya diberikan kepada sanak saudara,” katanya.

Jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail itu selamat dikebumikan pada pukul 9.20 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Mukim Langgar, di sini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button