BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPT salur bantuan RM2,000 kepada pelajar terjejas kebakaran saluran gas di Putra Heights

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengenal pasti empat pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights dekat sini dan mengumumkan bantuan awal sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Bantuan wang tunai dan lain-lain mengikut keperluan itu disalurkan melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS).

Selain itu, sesi kaunseling dan sokongan psikologi turut disediakan bagi membantu pelajar terkesan mengatasi trauma yang dialami.

Menurut kenyataan KPT hari ini, dua daripada pelajar terbabit kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights, sementara dua lagi telah pulang ke kampung namun masih mengalami kesan trauma akibat kejadian tersebut.

“KPT memberi jaminan bahawa pelajar yang terlibat tidak akan menghadapi sebarang kesukaran dalam urusan akademik mereka.

“Bagi memastikan mereka yang terlibat tidak ketinggalan, kementerian memberikan kelonggaran dalam pendaftaran IPT yang dijadualkan berakhir pada 7 April 2025.

“Dari segi kebajikan, pelajar yang berada di pusat pemindahan turut menerima bantuan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan kelengkapan kebersihan diri,” menurut kenyataan itu.

KPT berkata, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM) turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan merangkumi keperluan asas, sokongan psikososial, rawatan perubatan serta khidmat sukarelawan.

Selain itu, Konsortium Hospital Universiti Awam (KHUAM) telah digerakkan untuk memberikan rawatan perubatan serta pemantauan kesihatan kepada mangsa yang memerlukan perhatian lanjut.

KPT turut bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menggerakkan sukarelawan bagi memastikan proses pemulihan pasca insiden berjalan lancar.

Kementerian menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau keadaan pelajar yang terjejas dan bersedia menyalurkan apa jua bentuk bantuan yang diperlukan.

“KPT juga bersedia untuk menyalurkan apa jua keperluan dan sokongan kepada mangsa terutama kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terjejas.

“Semoga mangsa-mangsa yang ditimpa musibah agar bertabah serta sabar menghadapi dugaan dan ujian ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button