BERITA SEMASA

MRI3 lonjak inovasi negara dalam sektor automotif, logistik dan rel

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh sinergi antara universiti dan industri apabila memperkenalkan tiga konsortium baharu di bawah inisiatif Ministry of Higher Education Research and Industry-Infused Incubator (MRI3) yang memberi tumpuan kepada sektor utama negara, iaitu automotif, logistik dan rel.

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dilantik menerajui sektor automotif, manakala sektor logistik diketuai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan sektor rel diterajui Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, pelancaran MRI3 dan penganjuran Higher Education Institutions–Industry Summit (HEIS) merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara ilmu, penyelidikan dan industri, sejajar dengan agenda Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi berasaskan inovasi.

“Kita berkumpul hari ini bukan sekadar untuk merasmikan program, tetapi meraikan detik penting apabila ilmu bertemu peluang dan penyelidikan berpadu dengan industri. Malaysia kini melangkah berani sebagai peneraju inovasi dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran tiga konsortium itu sempena Putrajaya Festival of Ideas (FOI) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Pelancaran itu adalah sebagai kesinambungan kepada kejayaan model pertama MRI3 bagi sektor Elektrikal dan Elektronik (E&E) yang diterajui Universiti Sains Malaysia (USM).

Turut hadir, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias; Naib Canselor UMT, Profesor Ir. TS. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim; serta Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd. Ali.

Mustapha menambah, MRI3 bukan hanya sebuah program, sebaliknya simbol transformasi universiti sebagai enjin inovasi, pemacu pelaburan dan nadi ekonomi masa depan negara.

“Dengan pelancaran tiga konsortium baharu ini, Malaysia bukan sekadar mengejar, tetapi menetapkan rentak dalam membentuk strategi nasional yang menyeluruh,” katanya.

Bagi sektor automotif, UMPSA bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengetuai kolaborasi strategik yang turut disertai UniMAP, UTHM dan UTM dengan kerjasama syarikat utama seperti Hino Motors, Proton, Perodua, Mercedes-Benz Malaysia dan Volkswagen Group Malaysia.

Mustapha berkata, inisiatif itu akan membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui latihan industri berstruktur, program latihan semula dan projek tahun akhir yang berorientasikan industri.

“Ini bukan sekadar latihan, tetapi pembinaan kapasiti strategik yang menjamin pekerjaan dan maruah graduan Malaysia,” ujarnya.

Dalam sektor logistik pula, UMT mengetuai konsortium dengan penglibatan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta syarikat utama seperti PKT Logistics, Kuantan Port, Port of Tanjung Pelepas dan MATRADE, dengan matlamat menjadikan Malaysia hab logistik serantau menjelang 2030.

Sementara itu, sektor rel diterajui oleh UTHM melalui MRI3 Rail Transportation Consortium yang disertai pemain utama industri termasuk Malaysia Rail Link (MRL), MRT, KTMB, Sarawak Metro, Prasarana Malaysia Berhad dan Express Rail Link (ERL).

“Dengan MRI3 Rel, kita bukan hanya membina landasan, tetapi asas kepada masa depan berimpak tinggi dan berteknologi maju,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Naib Canselor UMPSA serta 14 universiti awam dan agensi yang terlibat termasuk UTeM, USM, UniMAP, UMT, UTHM, UPM, UM, UTM, UiTM, USIM, UniSZA, UMK, UMS dan MIDA.

Sementara itu, Dr. Yatimah berkata, kepimpinan UMPSA dalam sektor automotif di bawah MRI3 akan memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan negara.

“Ia bukan sekadar platform kolaborasi, tetapi satu ekosistem menyeluruh yang menyatukan potensi penyelidik universiti dengan kepakaran industri bagi memastikan inovasi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar untuk masyarakat,” katanya.

Dalam masa sama, penganjuran HEIS turut menjadi medan pertemuan tokoh akademik dan industri bagi memperkukuh pembangunan bakat, inovasi serta pertumbuhan ekonomi negara.

Antara tokoh industri yang hadir termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad; Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Dr. Susanne Lehmann; serta Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Group, Datuk Kamarul A. Muhamed.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button