BERITA SEMASA

KPT tegaskan isu UEC mesti berpaksikan Perlembagaan, bukan tekanan politik

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan cadangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, sebaliknya berkata, cadangan itu haruslah berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kedudukan UEC yang perlu dilihat dalam kerangka nasional serta tidak boleh menyimpang daripada asas negara.

“Pendirian Kerajaan MADANI kekal konsisten bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu merupakan prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi, dan prinsip ini terpakai kepada semua aliran pendidikan tanpa sebarang pengecualian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Nga Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa menyatakan DAP meminta pertemuan Anwar Ibrahim untuk membincangkan pengiktirafan UEC.

Anwar kemudian menegaskan sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan.

Beliau berkata, sebagai Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.

Sementara itu, Zambry bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri bahawa semua aliran pendidikan, termasuk Cina, Tamil, Arab, Inggeris mahupun sekolah antarabangsa wajib mengukuhkan penguasaan Bahasa Melayu selaras dengan kehendak Perlembagaan serta aspirasi pembinaan jati diri dan perpaduan negara.

Beliau berkata, KPT akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing, dengan penekanan khusus kepada peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa teras, bahasa teknologi dan bahasa ilmu.

“Dalam masa sama, pemerkasaan Bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa suku akan diteruskan bagi melahirkan bakat nasional yang multilingualisme, seimbang, berakar pada nilai kenegaraan serta mampu memenuhi tuntutan dan cabaran global,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button