Fadhlina lawat satu-satunya SJKT di Kelantan, jamin akses pendidikan sama rata
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Pasir Gajah di Kuala Krai iaitu satu-satunya sekolah Tamil yang beroperasi di Kelantan bagi meninjau sendiri kualiti kemudahan serta pengoperasian sekolah tersebut.
Fadhlina berkata, lawatan itu penting dalam memastikan anak-anak komuniti setempat menerima akses pendidikan berkualiti.
“Saya berpuas hati dengan keadaan fasiliti yang baik serta persekitaran sekolah yang kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memuji inisiatif pihak sekolah yang aktif menganjurkan program pemerkasaan STEM, pengukuhan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta sukan bagi membentuk sahsiah murid secara holistik.
Dalam pertemuan bersama pihak pentadbiran dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Fadhlina menekankan keperluan kerjasama bersepadu antara warga sekolah dan komuniti.
Sempena lawatan itu, Yayasan Guru Tun Hussein Onn turut menyumbangkan papan pintar untuk meningkatkan interaktiviti pembelajaran manakala sumbangan bakul makanan diberikan kepada ibu bapa sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka.
“Kementerian Pendidikan kekal komited memastikan semua jenis sekolah di seluruh negara menerima akses pendidikan terbaik,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







