BERITA SEMASA

RMK13: Kerajaan akan wajibkan pendidikan prasekolah bermula umur 5 tahun

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan adalah bagi meningkatkan keberhasilan pendidikan negara.

“Pada masa sama, lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan disediakan terutama di kawasan desa.

“Kerajaan juga akan melaksanakan kajian semula ke atas waktu persekolahan optimum, menilai keberkesanan sekolah khusus dan menambah baik model pendidikan bagi murid pintar cerdas dan berbakat,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri kemudiannya berkata, pengukuhan pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan literasi digital, termasuk pengenalan asas kecerdasan buatan (AI) akan turut digerakkan bagi melahirkan generasi yang bersedia memenuhi permintaan pasaran kerja masa depan bernilai tinggi.

“Sistem pendidikan negara akan diperkemas supaya lebih bersepadu, berkesan dan responsif kepada cabaran masa depan.

“Oleh itu, KPM bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengawal selia pendidikan prasekolah hingga menengah.

“Bagi pendidikan prauniversiti dan pengajian tinggi akan diselaras Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan matlamat memperjelas bidang kuasa dan meningkatkan kecekapan dasar serta pelaksanaan” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button