125,000 penjawat awam Gred 1 bakal nikmati laluan naik pangkat ke Gred 5 mulai 2027
PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menyediakan laluan kenaikan pangkat Gred 1 ke Gred 5 yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 125,000 penjawat awam berkuat kuasa 1 Januari 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peluang kenaikan itu melibatkan beberapa kumpulan penjawat awam termasuk Pembantu Tadbir Perkeranian dan Operasi serta Pembantu Tadbir Kewangan.
Menurutnya, keputusan berkenaan dicapai menerusi perbincangan bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

“Walaupun ada kenaikan gaji mengikut SSPA, namun ada keperluan untuk jaga kategori yang terlalu rendah ini ditingkatkan sedikit.
“Jadi, kami bersetuju untuk menambah peluang laluan kerja bagi Gred 1 naik ke Gred 5 membabitkan 125,000 penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini hari ini.
Anwar berkata, bagi melayakkan kenaikan tersebut, penjawat awam terlibat perlu menjalani kursus berkaitan selama dua minggu.
“Saya telah arahkan JPA untuk sediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 ke Gred 5, tertakluk kepada syarat merangkumi tempoh perkhidmatan, kelayakan dan kursus khas yang bersesuaian,” katanya.
Menurut beliau, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut diarahkan menyediakan kursus berkenaan dalam tempoh enam bulan sebagai persediaan sebelum pelaksanaan kenaikan pangkat itu bermula pada 2027.
Gaji permulaan bagi Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N1/N19 dalam perkhidmatan awam Malaysia dianggarkan sekitar RM1,500 hingga RM1,700, dengan gaji pokok minimum RM1,500 dan tangga gaji maksimum boleh mencecah antara RM4,680 hingga RM5,071 bergantung kepada agensi serta struktur gaji yang diguna pakai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








