BERITA SEMASAPMX

Anwar sambut baik gencatan senjata Kemboja–Thailand, harap kestabilan serantau terpelihara

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan persetujuan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand sebagai langkah penting demi melindungi keselamatan orang awam.

“Saya mengalu-alukan persetujuan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang berkuat kuasa pada pukul 12 tengah hari (waktu tempatan).

“Keputusan untuk menghentikan pertempuran dan mengekalkan kedudukan pasukan masing-masing mencerminkan pengiktirafan bersama bahawa sikap menahan diri amat diperlukan, terutamanya demi kepentingan orang awam,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Menurut Anwar, Pernyataan Bersama itu menggariskan langkah-langkah praktikal dan positif termasuk pengesahan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN serta komunikasi langsung antara pihak berkuasa pertahanan.

“Langkah-langkah ini menyediakan asas kepada kestabilan dan saya berharap kedua-dua pihak akan melaksanakannya dengan penuh keikhlasan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menyokong segala usaha memastikan perjanjian tersebut dihormati, lebih-lebih lagi ketika Malaysia akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Filipina tepat tengah malam 1 Januari 2026.

“Malaysia akan menyokong semua usaha bagi memastikan komitmen ini dipatuhi serta memastikan maruah dan kredibiliti ASEAN sebagai sebuah rantau yang aman terus terpelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button