Malaysia, AS meterai perjanjian dagangan timbal balik berskala luas
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) hari ini menandatangani satu perjanjian dagangan timbal balik berskala luas bertujuan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.
Perjanjian itu ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump semasa pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, perjanjian itu akan memberikan pengeksport kedua-dua negara akses yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke pasaran masing-masing serta mengukuhkan hubungan ekonomi jangka panjang yang wujud sejak Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan 2004.
Di bawah perjanjian tersebut, AS akan mengekalkan tarif timbal balik sebanyak 19 peratus terhadap barangan Malaysia, dengan beberapa produk menerima kadar tarif sifar di bawah senarai rakan kongsi sejajar.
Malaysia pula akan terus komited memberikan akses pasaran utama yang besar bagi eksport barangan industri AS, termasuk bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam serta kenderaan penumpang, selain eksport pertanian seperti tenusu, ayam dan beras.
Kenyataan itu turut menyebut, Malaysia akan tidak akan mengenakan larangan atau kuota terhadap eksport mineral kritikal atau unsur nadir bumi ke AS dan akan bekerjasama dengan firma Amerika bagi mewujudkan kepastian kepada perniagaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Dalam aspek perdagangan digital, Malaysia bersetuju untuk tidak mengenakan cukai perkhidmatan digital yang mendiskriminasi syarikat AS serta memastikan pemindahan data merentasi sempadan yang dipercayai dengan perlindungan sewajarnya.
Kenyataan itu turut menyebut, kedua-dua negara berikrar untuk mengamalkan dan mengekalkan tahap tinggi perlindungan alam sekitar, meningkatkan penguatkuasaan hak pekerja, serta memperkukuh kerjasama dalam keselamatan pelaburan, kawalan eksport dan usaha menentang barangan palsu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








