BERITA SEMASA

Pelabur asing perlu perkasa syarikat dan tenaga kerja tempatan – Fadillah

ALOR GAJAH – Pelabur asing yang membawa masuk modal ke Malaysia perlu turut menyumbang kepada pembangunan kepakaran tempatan menerusi pemindahan teknologi, latihan kemahiran dan penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, manfaat pelaburan asing tidak seharusnya terhad kepada kemasukan modal dan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu mewujudkan keupayaan industri tempatan yang mampu berkembang dalam jangka panjang.

Beliau berkata, pelabur antarabangsa perlu memberi ruang lebih luas kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam aspek pembekalan, kerjasama perniagaan serta aktiviti lain sepanjang rantaian nilai industri.

“Saya mengharapkan lebih banyak syarikat dan pelabur dari luar apabila melabur di Malaysia, bukan sahaja mencari rakan kongsi tempatan, tetapi melibatkan keseluruhan rantaian nilai, daripada aspek pembekalan dan sebagainya serta memberi keutamaan kepada orang tempatan.

“Pada masa sama, mereka perlu melatih tenaga tempatan supaya kita dapat melaksanakan pemindahan teknologi dan meninggalkan sesuatu yang berkekalan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Jawatankuasa Penjanaan Kuasa Turbin Gas CGNEI 2026 di Pusat Latihan EPH, Loji Janakuasa Edra Melaka (EMPP), Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi CGN Energy International Holdings Co. Limited (CGNEI), Zhang Chaoqun.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, usaha memperkukuh kemahiran tenaga kerja tempatan penting bagi memastikan rakyat bukan sahaja memperoleh peluang pekerjaan, malah mampu menguasai kepakaran teknikal tinggi yang boleh meningkatkan taraf pendapatan.

Menurutnya, hubungan kerjasama jangka panjang dengan syarikat antarabangsa juga perlu merangkumi perkongsian pengalaman operasi dan kepakaran bagi meningkatkan keupayaan syarikat tempatan.

Katanya, pembangunan kepakaran dalam sektor tenaga bukan sahaja dapat memperkukuh industri domestik, malah membolehkan Malaysia menyumbang lebih besar terhadap keselamatan tenaga di peringkat serantau.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pusat latihan hasil inisiatif CGN dan Edra Power Holdings berpotensi menjadi pusat pembangunan tenaga pakar dalam bidang penjanaan kuasa, khususnya teknologi turbin gas.

Kemudahan itu, katanya, turut memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan, terutama di Melaka, untuk mendapatkan latihan dan meningkatkan kemahiran sebelum menceburi bidang kerjaya dalam industri tenaga.

“Ini penting untuk melatih tenaga kerja di Malaysia supaya mereka bukan sahaja menjadi pekerja mahir, tetapi akhirnya dapat meningkatkan pendapatan.

“Mereka juga telah bersetuju untuk membuka peluang ini bukan sahaja kepada Melaka, tetapi untuk seluruh Malaysia,” katanya.

Persidangan anjuran CGNEI itu menghimpunkan 120 pemimpin industri, jurutera dan rakan teknologi dari lima negara bagi membincangkan perkembangan industri tenaga serta teknologi penjanaan kuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button