BERITA SEMASA

PRN Melaka : Gangguan monyet liar jejaskan hasil pertanian, Jaini saran mandulkan monyet

AYER LIMAU – Cadangan memandulkan monyet liar bagi mengawal populasinya antara pendekatan yang disarankan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Mejar (B) Jaini Dimon, bagi menangani gangguan haiwan berkenaan terhadap kegiatan pertanian penduduk setempat.

Beliau berkata, serangan monyet liar dan babi hutan menyebabkan tanaman penduduk rosak serta musnah, sekali gus menjejaskan hasil pertanian yang menjadi antara sumber ekonomi utama masyarakat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu semakin membebankan petani sehingga ada dalam kalangan mereka hilang semangat untuk meneruskan aktiviti penanaman kerana hasil yang diusahakan tidak dapat dituai.

“Gangguan monyet ini memang memberi permasalahan utama sehingga kebanyakan penduduk seperti sudah berputus asa untuk melaksanakan pertanian lagi kerana tiada hasil.

“Apabila mereka mula melakukan penanaman, tanaman akan dirosakkan atau dimusnahkan oleh monyet dan babi hutan. Jadi, ini isu utama yang dihadapi petani di daerah Durian Daun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.

Jaini berpandangan, masalah gangguan monyet liar bukan hanya berlaku di Ayer Limau, sebaliknya turut menjadi isu di peringkat nasional apabila haiwan berkenaan dilihat semakin banyak membiak dan memasuki kawasan pertanian.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kaedah memandulkan monyet dipertimbangkan sebagai satu langkah mengawal pembiakan haiwan berkenaan, sekali gus mengurangkan gangguan terhadap kegiatan pertanian.

“Saya ada cadangan sebelum ini supaya satu cara yang boleh dilakukan adalah melalui proses memandulkan monyet-monyet ini supaya pembiakan dapat dikawal.

“Selagi ada generasi yang menggantikan, monyet akan terus berada di kawasan itu. Jadi, kita perlu mula memutuskan rantaian pembiakan ini,” katanya.

Beliau berharap pendekatan berkenaan dapat membantu mengurangkan populasi monyet liar dalam jangka panjang, sekali gus membolehkan petani menjalankan kegiatan pertanian tanpa berdepan ancaman kerosakan tanaman secara berterusan.

“Insya-Allah, apabila masalah pembiakan ini dapat dikawal, petani boleh menikmati hasil usaha pertanian mereka dengan lebih baik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button