BERITA SEMASA

Malaysia tersenarai 14 destinasi pendidikan tinggi utama dunia

KUALA LUMPUR – Malaysia kini berada dalam kelompok 14 destinasi pendidikan tinggi utama dunia, sebaris dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan ketiga tertinggi di dunia dalam tempoh lima tahun, iaitu sebanyak 70 peratus selain merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 16 peratus dalam kelompok 14 destinasi berkenaan.

zambry
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan Malaysia semakin mendapat kepercayaan pelajar antarabangsa sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian tinggi.

“Dahulu, apabila bercakap tentang melanjutkan pengajian ke luar negara, ramai yang membayangkan Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia.

“Hari ini, Malaysia juga semakin menjadi pilihan pelajar antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, antara faktor yang menjadikan Malaysia pilihan ialah penawaran pendidikan tinggi berkualiti pada kos yang berpatutan.

Zambry berkata, pencapaian itu bukan sekadar membabitkan angka atau kedudukan di peringkat global, sebaliknya mencerminkan keupayaan universiti tempatan, kualiti ahli akademik serta kekuatan ekosistem pendidikan tinggi negara.

Katanya, perkembangan itu turut menunjukkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti.

Beliau berkata, aspirasi negara adalah untuk menjadi destinasi pendidikan global, bukan sahaja menghantar anak tempatan menimba ilmu di luar negara, malah menarik pelajar antarabangsa datang ke Malaysia.

“Inilah cita-cita besar kita. Menjadikan Malaysia sebuah negara yang bukan sahaja menghantar anak bangsanya menimba ilmu ke seluruh dunia, tetapi turut menjadi tempat dunia datang mencari ilmu.

“Dari Malaysia, kita bina masa depan dunia,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan tinggi negara atas pencapaian berkenaan dan berharap lebih banyak kejayaan dapat dilakar pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button