BERITA SEMASADALAM NEGERIPMX

Kerajaan runding dua kapal Malaysia disekat di Selat Hormuz

JOHOR BAHRU – Kerajaan sedang giat mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa Iran susulan sekatan terhadap dua kapal Malaysia yang membawa muatan bahan api selepas keluar dari Selat Hormuz.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha diplomatik di peringkat tertinggi sedang dilaksanakan bagi memastikan kapal terbabit dapat meneruskan pelayaran dengan selamat ke destinasi masing-masing.

Menurut beliau, sebahagian kapal yang terlibat telah berjaya memasuki perairan negara, manakala selebihnya masih dalam proses penyelesaian.

“Kita sedang berunding kerana kelulusan telah diberikan dan kita harap ia dapat diselesaikan segera,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya, di sini.

Isu berkenaan timbul susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan laluan perkapalan antarabangsa, dengan laporan sebelum ini menyebut beberapa kapal terkandas di laluan strategik tersebut.

Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan sebuah lagi kapal Malaysia masih berada di pelabuhan kawasan berkenaan, namun ia berpunca daripada kerosakan teknikal dan bukan isu sekatan.

Kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan kru serta kelancaran rantaian bekalan bahan api, dengan rundingan bersama pihak Iran akan terus dipergiat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button