Majlis interim Iran capai konsensus majoriti pemilihan pengganti Ali Khamenei
TEHRAN – Majlis kepimpinan interim Iran dilaporkan telah mencapai konsensus majoriti berhubung pelantikan calon pemimpin tertinggi negara itu, susulan kematian Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan udara yang didakwa melibatkan Israel dan Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
Perkembangan itu dilihat sebagai langkah pantas Tehran bagi memastikan kesinambungan pentadbiran serta mengekalkan kestabilan negara ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat semakin memuncak.
Menurut laporan media antarabangsa, mesyuarat penting yang dipengerusikan Presiden Masoud Pezeshkian memberi tumpuan kepada persiapan untuk memanggil Perhimpunan Pakar.
Badan ulama berkenaan mempunyai mandat perlembagaan untuk memilih dan melantik individu yang akan memegang jawatan tertinggi negara sebagai pengganti Ali Khamenei.
Dalam pada itu, majlis kepimpinan berkenaan turut menolak cadangan Presiden AS, Donald Trump yang sebelum ini menyatakan Washington wajar memainkan peranan dalam menentukan pengganti kepimpinan Iran.
Jurucakap kerajaan Iran menegaskan bahawa proses pemilihan Pemimpin Agung adalah hak sepenuhnya rakyat dan institusi negara, tanpa sebarang campur tangan asing yang disifatkan mencabul kedaulatan Iran.
Buat masa ini, pentadbiran negara dikendalikan oleh majlis kepimpinan interim yang dianggotai Presiden Masoud Pezeshkian, Ketua Kehakiman Gholam-Hossein Mohseni-Ejei dan ulama kanan, Ayatollah Ali Reza Arafi.
Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Agung, Ali Larijani turut membentangkan laporan mengenai perkembangan konflik bersenjata serta tahap kesiapsiagaan pertahanan Iran bagi menghadapi kemungkinan serangan susulan.
Ali Khamenei meninggal dunia pada usia 86 tahun selepas memimpin Iran selama hampir 37 tahun dan negara itu kini berada dalam tempoh berkabung selama 40 hari.
Pemergian tokoh berpengaruh itu berlaku ketika rantau Asia Barat berada dalam keadaan tegang, sekali gus menjadikan proses peralihan kepimpinan Iran kini dipantau rapat oleh komuniti antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








