LUAR NEGARA

Helikopter berita NBC4 terhempas ketika liputan kemalangan, tiga maut

LOS ANGELES – Sebuah helikopter berita NBC4 yang sedang membuat liputan mengenai kemalangan maut di Chatsworth, terhempas mengorbankan tiga orang, termasuk wartawan udara Eliana Moreno dan juruterbang George Marciniw, hari ini.

Helikopter NewsChopper4 yang dikendalikan Angel City Air itu terhempas kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) di kawasan antara dua bangunan komersial di 9100 North Mason Avenue, menyebabkan kebakaran dan merosakkan beberapa kenderaan.

Mangsa ketiga ialah seorang individu di darat, manakala dua lagi cedera dan dikejarkan ke hospital.

Pihak berkuasa memaklumkan lebih 70 anggota bomba dikerahkan bagi memadam kebakaran di lokasi kejadian.

Moreno, yang turut membuat liputan untuk Telemundo 52, menyertai pasukan helikopter Angel City Air pada 2010 selepas menamatkan pengajian dalam bidang kewartawanan penyiaran dan sains politik di Chapman University.

Beliau dan Marciniw mula kerap melakukan penerbangan bersama sejak 2023.

Kejadian berlaku ketika kru NewsChopper4 membuat liputan kemalangan membabitkan sebuah bas Metro dan SUV di kawasan berhampiran.

NBC4 kemudian mengesahkan secara langsung bahawa helikopter milik stesen berkenaan terhempas selepas kru di studio kehilangan hubungan dengan pasukan di udara.

Punca nahas masih belum diketahui dan siasatan akan dijalankan oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) bersama pihak berkuasa berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button