BERITA SEMASA

Tabung Kasih@HAWANA X TM bantu waris mendiang James Ritchie, veteran media Sarawak

KUCHING – Tabung Kasih@HAWANA X TM terus memperlihatkan keprihatinan terhadap kebajikan pengamal media apabila menyampaikan sumbangan kepada waris wartawan veteran Sarawak, mendiang James Alexander Ritchie, di kediaman mereka di sini hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Sarawak.

Mendiang James, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 3 Mei 2025 pada usia 75 tahun, merupakan penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang kewartawanan.

“Kerjaya mendiang dalam bidang media dan komunikasi bermula pada 1971 sebagai wartawan kadet New Straits Times (NST) sebelum berkhidmat sebagai wartawan NST Sarawak pada 1981.

“Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak pada 1998 dan Perunding Media bersama Sarawak Digest pada 2022.

“Sumbangan kepada waris mendiang merupakan tanda penghargaan terhadap jasa dan bakti beliau sepanjang kerjayanya, selain mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan keluarga pengamal media,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.

Dalam lawatan berasingan, Abdul Halim bersama Nur-ul Afida dan Arul Rajoo turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM kepada Uleyvia Anak Ubang, 58, veteran industri penyiaran yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak 2015 dan kini menjalani rawatan dialisis secara berkala.

Uleyvia telah berkhidmat selama 30 tahun bersama Cats FM sejak 1996.
Tabung Kasih@HAWANA X TM adalah inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM) bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan.

Sejak peruntukan itu mula disalurkan pada Jun 2026, seramai 77 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Secara keseluruhan, seramai 847 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak diperkenalkan pada April 2023.

Inisiatif yang diterajui Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi BERNAMA.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button