Kisah Philip bapa tunggal dari Miri kehilangan isteri ketika di Brunei dapat perhatian timbalan menteri
MIRI – Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man membantu seorang anak jati Sarawak untuk membina kehidupan baharu di tanah kelahiran selepas dua dekad mencari rezeki di Brunei.
Choon Man berkata, lebih menyedihkan apabila lelaki itu yang dikenali sebagai Philip kehilangan isteri tercinta semasa menetap di Brunei.
Atas faktor itu katanya, Philip terpaksa memikul tanggungjawab sebagai bapa tunggal yang perlu mencari nafkah di samping membesarkan anak-anaknya tanpa sokongan ahli keluarga lain.
“Dia cerita, kerja di sana gaji bukan besar mana pun. Lepas tukar ke ringgit Malaysia dalam sekitar RM2,000 lebih, umurnya juga mencapai persaraan tahun depan. Dia fikir sudah tiba masa untuk keluarganya pulang dan bina hidup di Miri tetapi dia takut,” katanya satu hantaran menerusi laman Facebooknya.
Menurut beliau, prihatin atas nasib yang menimpa lelaki itu, beliau segera menghantar pegawainya ke Brunei untuk membantu Philip.
Katanya, perjalanan sejauh enam jam itu dilakukan demi memastikan Philip tidak perlu mengharungi segala cabaran tersebut secara bersendirian.
Berpegang kepada prinsip memberi kail lebih baik daripada memberi ikan, beliau berhasrat membantu Philip menjana pendapatan sendiri sebagaimana yang telah dilakukan terhadap ramai golongan B40 sebelum ini.
Bagi membantu Philip berdikari dan memulakan hidup baharu, Choon Man berkata, beliau telah mencadangkan lelaki itu untuk membuka gerai burger.
Pada masa sama, beliau turut menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk Philip dan anak-anaknya dengan membiayai sewa kediaman tersebut selama empat bulan pertama menggunakan gaji sendiri bagi meringankan beban keluarga itu untuk bangkit semula di Miri.
Hasil daripada sokongan tersebut katanya, gerai burger yang diusahakan kini menjadi titik perubahan yang signifikan bagi kehidupan Philip.
Choon Man melahirkan rasa syukur di mana perniagaan itu kini mampu menjana pendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, sekali gus menawarkan masa depan yang lebih cerah berbanding pendapatan Philip
ketika bekerja di Brunei sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Gawai dengan ungkapan ‘Gayu Guru Gerai Nyamai’ kepada seluruh masyarakat di Sarawak.
Beliau juga tidak ketinggalan menitipkan ucapan Selamat Hari Bapa buat semua golongan bapa atas segala pengorbanan dan jerih payah dalam menyara keluarga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








