MCMC anjur edisi pertama CTPR Masterclass di Sarawak, perkukuh keupayaan dasar digital Malaysia dan ASEAN
KUCHING – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama strategik Multimedia University (MMU), GSMA dan MMU CNERGY hari ini menganjurkan edisi pertama Converged Telecommunications Policy and Regulations (CTPR) Masterclass 2026 di Sarawak sekali gus memperkukuh pembangunan kapasiti serta keupayaan dasar dan peraturan digital di Malaysia dan rantau ASEAN.
Program yang berlangsung selama lima hari bermula 27 hingga 31 Julai di Hotel Pullman, Kuching itu dirasmikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi.
Menurut MCMC, usaha memperkukuh keupayaan kepimpinan dan kawal selia kini semakin penting berikutan perkembangan pesat teknologi digital yang merangkumi telekomunikasi, penyiaran, platform dalam talian, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan serta komunikasi satelit.
“Selain pembangunan infrastruktur digital, negara juga perlu memperkukuh keupayaan institusi dan melengkapkan penggubal dasar serta pengawal selia dengan pengetahuan, kemahiran dan perspektif strategik bagi menangani landskap digital yang semakin kompleks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bertemakan “Enabling the Next Wave of Connectivity and Multimedia: From 5G and AI to Satellite and Beyond – Policies for Future Digital Growth”, program tersebut menjadi platform strategik kepada kerajaan, badan pengawal selia, penggubal dasar dan pemimpin industri untuk meningkatkan kefahaman mengenai teknologi baharu serta membangunkan dasar dan rangka kerja kawal selia yang lebih tangkas, neutral terhadap teknologi dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Penganjuran edisi sulung di Sarawak mencerminkan peranan negeri itu yang semakin penting dalam agenda transformasi digital negara, didorong oleh pelaburan berterusan dalam infrastruktur digital, keterhubungan dan inovasi.
Ia turut membuktikan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam melahirkan bakat digital, memperkukuh kecemerlangan kawal selia serta mempercepatkan transformasi digital yang inklusif.
Program itu menghimpunkan badan pengawal selia, pegawai kerajaan, penggubal dasar, syarikat telekomunikasi, syarikat teknologi, ahli akademik dan profesional industri dari Malaysia serta negara anggota ASEAN bagi berkongsi pengalaman, amalan terbaik kawal selia dan memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani cabaran serta peluang hasil kemajuan teknologi.
Sepanjang program, peserta akan mengikuti sesi pembelajaran eksekutif dan perbincangan interaktif yang dikendalikan pakar serantau dan antarabangsa meliputi pelbagai bidang seperti kawal selia konvergen, tadbir urus AI, Open RAN, pembangunan 6G, komunikasi satelit, pengurusan spektrum pintar, keselamatan siber, tadbir urus data, ekonomi infrastruktur, aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), serta transformasi digital mampan.
Sejak diperkenalkan pada 2015, CTPR Masterclass telah diiktiraf sebagai program pembangunan eksekutif serantau dalam bidang dasar komunikasi, peraturan digital dan teknologi baharu.
Setakat ini, hampir 400 pengawal selia, penggubal dasar, pegawai kerajaan, ahli akademik dan profesional industri dari Malaysia serta ASEAN telah mengikuti program tersebut.
Selepas edisi Sarawak, CTPR Masterclass 2026 akan diteruskan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bagi memperluaskan peluang pembangunan profesional, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan serantau dalam pembangunan dasar digital, keupayaan kawal selia dan kepimpinan sektor komunikasi.
MCMC berkata, menerusi inisiatif seperti CTPR Masterclass, suruhanjaya itu terus komited memperkukuh kapasiti penggubal dasar, badan pengawal selia dan pemimpin industri dalam menghadapi perkembangan teknologi masa depan, di samping menggalakkan kerjasama serantau bagi membina ekosistem digital yang diyakini, berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan di Malaysia serta rantau ASEAN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















