Peruntukan tambahan Tabung Kasih@HAWANA perkasa kebajikan, transformasi industri media
BUTTERWORTH – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan tambahan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA serta penerusan Dana Inovasi Media disambut baik pengamal media yang melihat langkah itu mampu memperkukuh kebajikan wartawan dan mempercepat transformasi industri media negara.
Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ashwad Ismail berkata, keputusan kerajaan meneruskan Dana Inovasi Media membuktikan komitmen dalam membantu organisasi media menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat.
Menurut beliau, dunia media kini berdepan perubahan besar yang dipacu inovasi termasuk kecerdasan buatan (AI), sekali gus menuntut organisasi media bertindak pantas dan kekal relevan.
“Perubahan dunia yang digerakkan dan diperkukuh oleh inovasi, khususnya AI, memerlukan media memberi respons segera, memahami realiti semasa dan bersedia menghadapi masa depan.
“Penerusan dana ini akan membantu organisasi media tempatan meningkatkan keupayaan serta memperkukuh usaha transformasi yang sedang dilaksanakan,” memetik Hawana.my hari ini.
Sementara itu, Presiden Kelantan Darul Naim Media Club, Muhammad Yatimin Abdullah menyifatkan tambahan peruntukan kepada Tabung Kasih@HAWANA sebagai langkah signifikan dalam membantu pengamal media serta bekas wartawan yang memerlukan sokongan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan warga media yang banyak menyumbang kepada penyampaian maklumat kepada masyarakat.
“Pada masa sama, Dana Inovasi Media mampu membantu organisasi media terus berdaya tahan dan kekal kompetitif dalam suasana industri yang semakin mencabar,” katanya lagi.
Pandangan sama turut disuarakan Presiden Kelab Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor, Wan Syamsul Amly Wan Seadey yang menyifatkan pengumuman itu sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan media dalam era digital.
Beliau berkata, tambahan dana kepada Tabung Kasih@HAWANA juga dapat membantu menjaga kebajikan pengamal media, terutama wartawan bebas yang berdepan cabaran pendapatan tidak menentu.
“Bagaimanapun, saya berharap HAWANA dapat mempertimbangkan penubuhan dana pendidikan pada masa hadapan bagi membantu wartawan melanjutkan pengajian dan meningkatkan kemahiran profesional mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pensyarah komunikasi Han Chiang University College, Siti Nooraeina Omar berkata, penerusan Dana Inovasi Media yang sebelum ini menerima peruntukan RM30 juta amat penting bagi memastikan industri media tempatan terus berkembang seiring perubahan landskap komunikasi.
Menurut beliau, organisasi media perlu menerima teknologi dan pemodenan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta proses penghasilan berita.
“Teknologi boleh membantu mempercepatkan proses kerja, namun tugas utama wartawan untuk mengesahkan dan menilai kesahihan sesuatu maklumat tetap tidak boleh digantikan,” katanya lagi.
Anwar mengumumkan tambahan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA selain meneruskan Dana Inovasi Media ketika berucap pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Butterworth.
Langkah itu dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem media negara, sekali gus memastikan industri berkenaan kekal mampan dan berdaya saing dalam era digital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








