Lebih 5,000 peserta jayakan Kasih Fun Run, promosi kesedaran kesihatan mental
KUALA LUMPUR – Lebih 5,000 peserta pelbagai peringkat umur memeriahkan Kasih Fun Run 2025 ‘Awak OK tak?’ anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini. 
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Bulan Kaunseling Kebangsaan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi, selain memupuk nilai empati serta keprihatinan dalam kalangan rakyat.
“Kasih Fun Run bukan sekadar acara riadah tetapi turut menjadi simbol kepada keseimbangan antara kesihatan fizikal dan mental yang perlu dipelihara oleh setiap individu.
“Kesejahteraan emosi sama penting dengan kesihatan fizikal. Kita mahu membina masyarakat yang saling peduli, menyokong dan membantu antara satu sama lain agar tiada siapa berasa keseorangan,” katanya di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Farah Adura Hamidi; dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron.
Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan Kempen ‘Awak OK Tak? Jom Kongsi’, inisiatif baharu KPWKM bagi mewujudkan ruang selamat untuk masyarakat berkongsi perasaan, mendapatkan bantuan serta menggalakkan budaya sokongan emosi secara terbuka.
“Melalui kempen ini, kita ingin mengubah stigma terhadap isu kesihatan mental. Tidak salah untuk bertanya ‘Awak OK ke tak?’ kerana kadang-kadang soalan kecil seperti itu mampu memberi makna besar kepada seseorang yang sedang bergelut dalam diam,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron, berkata pihaknya turut menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) semasa program berlangsung bagi memberi peluang kepada pengunjung menjalani saringan stres, kemurungan dan keresahan, selain mendapatkan khidmat kaunseling segera melalui trak bergerak PSSS Mobile.
“Melalui pendekatan mesra komuniti ini, kami mahu membawa khidmat sokongan emosi terus kepada rakyat tanpa mereka berasa segan atau takut untuk tampil mendapatkan bantuan,” katanya lagi.
Kasih Fun Run 2025 turut disertai oleh warga emas, individu berkeperluan khas serta kanak-kanak kurang upaya, menjadikannya platform inklusif yang meraikan semangat kebersamaan dan keprihatinan sosial.
Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti pemeriksaan kesihatan percuma, senamrobik, cabutan bertuah, reruai interaktif dan jualan amal.
Acara itu mencerminkan komitmen berterusan YKN dan KPWKM dalam memperkukuh kesejahteraan sosial serta kesedaran kesihatan mental rakyat, sejajar dengan usaha membina masyarakat penyayang, sihat dan sejahtera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





