JENAYAH & MAHKAMAH

Anggota polis peronda LPT2 direman 5 hari bantu siasatan kes rasuah

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan perintah reman ke atas seorang anggota Unit Polis Peronda Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM14,000.

Perintah reman sehingga 20 Ogos itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman selepas membenarkan permohonan SPRM Pahang di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini.

Menurut sumber, anggota polis berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Penahanan itu susulan penahanan seorang pegawai polis yang bertugas di lebuh raya sama, 11 Ogos lalu kerana disyaki menerima suapan sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pengguna lebuh raya yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Kata sumber itu lagi, siasatan awal mendapati anggota terbabit disyaki bersubahat dengan pegawai polis berkenaan melakukan perbuatan itu antara Januari hingga Julai lalu.

“Mereka dipercayai menerima rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga yang dipercayai digunakan suspek,” katanya.

Sementara itu, perintah reman terhadap pegawai polis yang ditahan sejak 11 Ogos lalu disambung empat hari lagi sehingga 19 Ogos.

Lanjutan reman itu dikeluarkan majistret dalam prosiding pagi tadi selepas tempoh reman pertama berakhir, hari ini.

Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button