JENAYAH & MAHKAMAH

Terima rasuah RM15,000 tutup kertas siasatan, pegawai kanan Kastam didakwa

SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM15,000 sebagai balasan menutup satu kertas siasatan berkaitan kes yang dikendalikannya, bulan lalu.

Tertuduh, Fareez Akmal Md Yusuf, 38, yang merupakan Penolong Pengarah di Unit Siasatan Penipuan Perdagangan, Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kuala Lumpur, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperoleh wang tunai RM15,000 daripada seorang lelaki berusia 50 tahun sebagai dorongan untuk menutup satu kertas siasatan yang sedang dijalankan, memetik laporan Metro Online.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir di SS4, Petaling, pada 29 Jun lalu.

Perbuatan tersebut didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 serta beberapa syarat tambahan termasuk penyerahan pasport kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), laporan berkala kepada SPRM dan larangan mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela Azrul Zulkifli Stork memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button